SELANGOR FC
BERITA

Pasukan Kembali Berlatih Dari Bangkok

Mar 15, 2024 - FAS

Sesi latihan di kem Gergasi Merah diteruskan selepas selesai program ‘team building’ dan pramusim di Bangkok, Thailand tamat pada 7 Mar yang lalu.

Selangor FC sempat menjalani sesi latihan dengan jumlah pemain yang lengkap semasa pramusim di Bangkok, Thailand. Menurut Samuel Somerville, penjaga gawang Gergasi Merah, hasil daripada program tersebut, pasukan nampak lebih bersatu.

“Bagi saya, kami lalui sesi pramusim yang sangat baik di Thailand. Fokus utama pramusim ini adalah untuk membina hubungan baik antara pemain terutamanya bersama pemain-pemain baharu. Sesi ini semestinya bagus untuk pasukan kerana kami dapat luangkan masa bersama dengan aktiviti-aktiviti yang barisan jurulatih dan pegawai telah rancang. Walaupun sekejap, saya harap dengan program seperti ini membantu pasukan untuk bersedia bagi musim 2024/2025,” kata Samuel berkenaan pramusim.

Bermula minggu ini, lapan pemain tempatan, Faisal Halim, Sharul Nazeem, Mukhairi Ajmal, Ruventhiran, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Nooa Laine dan Izwan Yuslan telah mendapat seruan Harimau Malaya ke kem latihan bagi menghadapi perlawanan ketiga dan keempat Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada 21 Mac 2024 dan di Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.

Selain itu, tiga pemain import Gergasi Merah juga telah mendapat panggilan negara masing-masing, Safuwan Baharudin (Kumpulan C: Singapura lwn China), Noor Al-Rawabdeh (Kumpulan G: Jordan lwn Pakistan) dan Umarbek Eshmurodov (Kumpulan E: Uzbekistan lwn Hong Kong) untuk Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Sementara itu, tiga lagi pemain Selangor FC telah mendapat seruan pasukan Kebangsaan bawah 23 tahun iaitu Syahir Bashah, Azim Al-Amin dan Muhammad bagi membuat persiapan sebelum terbang ke Qatar bagi saingan Piala Asia B-23 2024 pada 15 April hingga 3 Mei tahun ini.

Pihak pengurusan yakin barisan jurulatih akan menggunakan masa sebaik mungkin dengan jumlah pemain yang ada untuk terus membuat persiapan menjelang perlawanan pembukaan pada bulan Mei nanti. Kami juga mendoakan kejayaan pasukan negara di Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. Semoga berjaya!

Demi Kebanggaan!